Konco-Konco!!!

Thursday, November 3, 2011

PPSMI dimansuhkan....

Kali ini post saya nak masuk politik sikit laa ek...


Baru tadi menonton Buletin Utama, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat kenyataan tidak akan tunduk dengan mana-mana rayuan untuk mewujudkan semula sistem Pelajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasai Inggeris (PPSMI) selaku dengan keputusan beliau beberapa hari lalu untuk memansuhkan PPSMI serta tiada pilihan untuk mata pelajaran tersebut.

Saya terpaksa menyentuh isu ini kerana saya rasa isu ini berkait dalam bidang Teknologi Maklumat (IT), Multimedia dan Animasi.  Ketiga-tiga bidang tersebut memerlukan pengetahuan kedua-dua mata pelajaran iaitu Sains dan Matematik, oleh itu saya rasa post saya kali ini tidaklah tersasar jauh daripada objektif sebenar blog ini harap-harapnya.

Saya memang agak kurang bersetuju dengan pemansuhan tersebut, walaubagaimanapun sebagai seorang Melayu, saya mempertimbangkan semula dan menerimanya.  Hal ini disebabkan oleh kenyataan beliau dan majoriti rakyat Malaysia yang menyokong pemansuhan tersebut adalah bertujuan untuk memartabatkan Bahasa Melayu, ingin menjadi seperti negara-negara kelas pertama yang maju dengan hanya bergantung kepada Bahasa Ibunda mereka sahaja seperti Jepun, Korea, China dan byk lagi.  Saya menerima pemansuhan secara langsung PPSMI JIKA.....

  1. Tukarkan juga mata pelajaran Sains dan Matematik (dan yang berkenaan dengannya seperti IT, multimedia, Animasi, kejuruteraan dan lain-lain) yang kini diajar dalam Bahasa Inggeris di universiti-universiti tempatan  ke Bahasa Melayu.  Hal ini untuk mengelakkan daripada pelajar-pelajar kita terutama orang Melayu yang selama 11 tahun belajar Bahasa Melayu mendapat "Kejutan Budaya" apabila mereka lanjutkan pelajaran diperingkat Universiti.  (yang mana lanjutkan pelajaran ke luar negara itu tidak boleh buat apa laa yee...)
  2. Semua guru tidak kira bangsa (terutamanya bukan berbangsa melayu) menggunakan Bahasa Melayu dalam pelajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains. Kerana kita boleh lihat sekarang ini mereka yang bukan berbangsa Melayu lebih senang bertutur dalam Bahasa Inggeris, kadang-kadang mereka terbawa-bawa tidak kira mengajar dalam mata pelajaran apapun (kalau mereka mengajar pendidikan senipun kadang-kadang cakap Inggeris).
  3. Perbanyakkan lagi buku-buku rujukan dan ilmu yang berkaitan sains dan matematik diterjemah dalam Bahasa Melayu.  Sekarang ini jika kita pergi kemana-mana kedai buku di Malaysia ini amat sukar untuk mendapatkan buku-buku rujukan yang diterjemah kedalam Bahasa Melayu (melainkan buku rujukan UPSR, PMR dan SPM.  Itupun selepas permansuhan ini akan ditukar semula ke Bahasa Inggeris).  
  • Pergi sahajalah ke kedai buku Kinokuniya KLCC sebagai contoh dan pergi ke bahagian Multimedia/IT... lihat buku-buku berkenaan Adobe, Gaming, 3D animation dan sebagainya... semuanya didalam Bahasa Inggeris, tiada satupun yang dalam Bahasa Melayu.  Saya tidak nafikan mungkin memang ada buku dalam Bahasa Melayu tetapi sangat kecil bilangannya dan hanya dijual dikedai-kedai buku yang kecil serta amat sukar untuk dijumpai.
    Bukan niat saya untuk menetang 100% pemansuhan ini, cuma jika ingin betul-betul ingin memartabatkan Bahasa Melayu, lakukanlah dengan secara menyeluruh bukan hangat-hangat tahi ayam (maaf kalau terkasar bahasa).  Semoga suatu hari nanti Bahasa Melayu akan menjadi 'Lingua Franca' semula seperti mana zaman kegemilangannya sewaktu Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dahulu.

    Oleh itu, saya amat berharap agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan saya tersebut.  Saya tidak mengjangkakan yang pihak kerajaan akan dapat melaksanakan cadangan-cadangan ini dalam masa yang sangat singkat kerana saya tahu untuk melaksanakan sesuatu seperti ini memerlukan masa dan proses-proses yang tertentu.  Walaubagaimanapun saya hanya ingin melihat kesungguhan dan usaha kerajaan dalam
    memartabatkan Bahasa Melayu kita.

    Sekian, Terima Kasih.

    Sokonglah Industri Hiburan Tempatan

    No comments: