Konco-Konco!!!

Sunday, June 5, 2011

Kritikan VS Kutukan!!

Assalammualaikum dan selamat sejahtera!!

    Saya melihat di panggung wayang sekarang sudah semakin banyak filem tempatan yang ditayangkan dan hasil kutipannya juga boleh dikatakan amat lumayan (dan main juta-juta sahaja sekarang nih...).  Melihat hasil karya tempatan sudah semakin diterima oleh rakyat Malaysia sendiri menimbulkan rasa bangga dalam diri saya terhadap karya-karya tempatan, ditambah pula dengan kualiti filem kita sekarang ini sedang meningkat naik dari semasa ke semasa.  Pengkarya-pengkarya tempatan sekarang semakin pandai bermain dengan teknik pengcahayaan, 'camera angle', grafik seperti visual effects, special effects dan Computer Generated-Imagery (CGI), serta lain-lain elemen menarik yang sepatutnya ada dalam sesebuah filem yang berkualiti.

    Namun begitu, jika ingin dibandingkan jumlah penggemar filem tempatan ini masih ditahap terlalu minority daripada keseluruhan 27 juta rakyat Malaysia.  Malah bukan semua penonton yang menonton filem tempatan di panggung wayang itu betul-betul penggemar filem tempatan.  Mereka hanya menonton filem tersebut mungkin kerana terpaksa (nak tengok X-Men tapi tiket dah abih, alang2 dah sampai terpaksa laa tengok cerita melayu...) atau mereka sengaja menonton untuk menilai filem tempatan itu, kemudian bila keluar mereka hanya menceritakan keburukkan pada filem tersebut sahaja kepada orang lain melalui blog, facebook dan twitter.

    Tidak salah untuk mengkritik kerana kritikan itu dapat membantu meningkatkan kualiti dan menyedarkan kelemahan orang lain supaya mereka berubah kepada yang lebih elok.  Namun, apa yang saya lihat boleh dikatakan hampir semua rakyat Malaysia tidak dapat membezakan antara kritikan dan kutukan.  Setiap kritikan yang diluahkan oleh rakyat Malaysia tidak kira la kritik filem ke, muzik ke, sukan ke, animasi ke semua yang berkaitan dengan Malaysia pasti berbaur kutukan.  Apakah beza kutukan dan kritikan? 

   Disini saya sertakan 2 jenis dialog dan tugas anda adalah membezakan mana satu kritikan dan mana satu kritikan:
  1.  "Bodoh betollaaa crite nihh!!!!  Tahpapetah.... macam K*M*K jee!!  Ada ke polis naik kreta kejar penjahat jalan kaki boleh terlepas??!! NONSENSE!!!"
  2. "Cerita ni ada subjek yang menarik sebagai sebuah cerita, tapi dorang tak pandai nak kembangkan lagi penceritaan dia.  Kalau dorang buat 'scene A' tu macam 'blablabla...' mesti jadi menarik..."
Dapatkah anda membezakan yang mana kritikan atau kutukan?  Kalau dapat TAHNIAH saya ucapkan kerana anda memang berfikiran professional.  Kebanyakan daripada orang kita ini lagi suka mengkritik (mengutuk?) dengan cara makian, cacian, hamunan, serta mangaibkan individu yang lain.  Adakah Islam mengajar kita untuk menegur orang dengan cara-cara sebegitu? Bila bab wanita tidak bertudung, sembahyang, puasa, kahwin 4 pandai pula nak ikut cara Islam, tapi bila ihsan dengan mahkluk ciptaan Allah yang lain, kemana Islam-nya?  Bukankah lagi elok jika anda berikan pendapat dan idea-idea yang bernas jika anda rasa anda mempunyai idea yang lagi hebat-hebat kepada saluran yang betul daripada hashtag mengarut-ngarut di twitter, trolling mencarut-carut di facebook dan blog?  Senang saja, anda boleh memilih untuk hantarkan email, surat atau paling senang sekali LIKE je Official Page mana-mana syarikat produksi dan post je kat Wall atau Messages mereka idea-idea anda yang hebat itu dengan bahasa yang sangat sopan dan tidak menyakitkan hati. Kalau anda rasa anda boleh menulis skrip, anda tulisla skrip anda dan hantarkan kepada mana-mana syarikat produksi.

   Saya disini bukan untuk menegakkan benang yang basah, saya sedar dan mengaku yang karya-karya kita masih terlalu jauh lemah terutama dari segi penceritaan berbanding dengan filem-filem luar negara tetapi bukan semuanya hampeh.  Secara perlahan-perlahan saya melihat filem kita sedang mendaki tangga kejayaan, dan selaku rakyat Malaysia kita kena menyokong segala usaha yang dijalankan bukannya terlalu meng-agungkan karya luar negara sampai meng-anaktirikan karya tempatan. Janganlah dibandingkan dengan Hollywood yang sudah bikin filem semenjak tahun 1909 lagi.  Sungguhpun filem kita masih ditahap yang lemah, takkan kita hendak membiarkan dia sentiasa ditahap itu sampai 100 tahun lagi? Tidak mahu ke kita melihat filem kita bertaraf 'Internationale'?

  Hendak berjaya bukan dengan sekelip mata, perlu pengalaman yang banyak serta sokongan daripada orang kita sendiri.  Bayangkan anda ingin melakukan sesuatu pekerjaan (halal) yang anda minat sangat tetapi ditentang sekeras-kerasnya oleh orang sekeliling anda termasuklah keluarga anda sendiri, tentu anda berasa sangat kecewa dan tidak punya semangat untuk meneruskan cita-cita anda.  Begitu juga dengan pengkarya-pengkarya kita, cubalah untuk membuka hati anda terhadap karya tempatan dengan mencari elemen yang baik-baik serta memberi pandapat yang membina terhadap kelemahan.  Jangan butakan mata serta hati anda dengan kebencian, seperti anda membenci seseorang, walau sebesar gajah sekalipun kebaikan yang dilakukan tetapi anda tidak nampak, tetapi keburukan sebesar zarah anda nampak dengan terangnya.

Saya berharap kita bersama-sama dapat memajukan industri hiburan kita (filem, animasi, drama, muzik) dengan cara yang aman dan bertolak ansur seperti ini tanpa perlu mencela, caci, maki hamun orang lain... SEKIAN.


SOKONGLAH INDUSTRI TEMPATAN



*Saya minta maaf jika terkasar bahasa dan terlanjur bicara, harap-harap pandangan saya ini dinilai terlebih dahulu sedalam-dalamnya sebelum membalas dengan penentangan.

No comments: