Konco-Konco!!!

Saturday, July 2, 2011

Kritikan VS Kutukan (versi Pengkarya)

Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera,

   Pada entri saya yang sebelum ini, saya ada menegur sifat serta mentaliti sesetengah rakyat Malaysia yang sentiasa berfikiran negatif dan hanya tahu untuk memaki hamun dan mengkritik dengan cara yang sangat keji dan tidak digalakkan dalam Islam (atau lebih tepat mencaci, cela dan mengutuk) hasil karya-karya tempatan.  Namun, saya berasa amat tidak adil jika hanya menyalahkan penonton sahaja kerana pihak pengkarya juga (segelintir bukan semua) ada salahnya kadang-kala.

   Segelintir penggiat seni (filem, muzik dan sebagainya) di Malaysia mempunyai sikap tidak mahu untuk menerima idea, pendapat dan kritikan para penonton/pendengar.  Hal ini berlaku disebabkan oleh sikap mereka yang mempunyai prinsip (?) "Karya Aku, Cara Aku..."

   Segelintir pengkarya yang mempunyai sikap seperti ini lah yang telah merosakkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap industri hiburan tempatan.  Bak kata pepatah, "Kerana Nila setitik, Rosak susu sebelanga."  Golongan-golongan seperti ini jika ditegur sedikit mudah sahaja untuk melenting dan cepat melatah.

   Tidak salah jika anda ingin mempunyai prinsip yang sedemikian, tetapi jika anda tidak mempunyai hasrat untuk meng-komersial-kan karya anda tersebut.  Jika anda ingin komersial-kan karya anda dan ingin 1Malaysia melihat karya anda, maka tidak seharusnya anda mengabaikan 100% segala pendapat dan pandangan pelanggan-pelanggan anda, kerana mereka inilah yang akan melaburkan wang untuk membeli karya anda serta menyokong segala usaha anda dalam industri filem.

   Sekalipun anda berhasrat ingin menetengahkan cara atau teknik baru dalam menghasilkan karya, anda harus menerangkan kepada pelanggan anda dengan cara yang baik dan elok-elok bukan dengan marah-marah dan kelihatan seperti orang yang bodoh sombong (maaf seribu kali maaf....).

   Seorang pengkarya yang baik dan berjaya akan sentiasa memperbaiki kelemahanya dengan cara memepertimbangkan segala pendapat dan pandangan peminat mereka sebagai panduan untuk mereka menghasilkan karya-karya yang lebih baik dan bermutu pada masa akan datang.  Jika perlu untuk menyertai kursus di luar negara atau mengambil tenaga pakar dari luar sebagai salah satu proses pembelajaran apa salahnya?  Sesudah kita mempunyai ilmu yang cukup dan yakin dengan diri kita barulah kita hasilkan karya yang 100% dilakukan oleh anak tempatan.

   Orang Greek pada masa dahulu terpaksa mempelajari bahasa arab semata-mata untuk mempelajari ilmu para Ilmuwan Islam dan isi kandung Al-Quran sebelum mereka membuat ciptaan-ciptaan yang digunakan pada masa kini.  Pedagang-pedagang daripada Arab, India, China dan Eropah mempelajari BAHASA MELAYU untuk berdagang di Melaka dan Acheh pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.  Jadi tidak salahkan kalau kita mengambil ilmu daripada mereka pula sebelum menjadikan ilmu kita sendiri?

  Minta maaf atas segala ketelanjuran saya dalam penulisan.  Saya hanya mahu melihat industri hiburan kita berkembang maju dan seiring dengan negara-negara lain kerana saya sayangkan negara saya.  Saya bukan seperti kebanyakkan rakyat Malaysia pada masa kini yang membenci terus karya kita dan mengagungkan karya orang lain daripada cuba untuk memperbaiki hasil karya sendiri.  Oleh itu saya berharap agar segala pandangan saya janganlah disalah anggap.  Jika ada kesalahan harap ditegur dengan baik dan aman kerana ISLAM itu AMAN.

Sekian, Terima Kasih....


SOKONGLAH INDUSTRI HIBURAN TEMPATAN